Foto: Ihsan Medkom
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan mencadangkan supaya gelembung perjalanan khas diperkenalkan bagi penerima vaksin untuk membolehkan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dapat diberikan kepada lebih ramai individu.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan berikutan Program Imunisasi COVID-19 sudah bermula di negeri dan negara ini, manakala Singapura telah memulakannya lebih awal, iaitu pada 30 Disember tahun lalu.
Justeru, kerajaan negeri akan membawa cadangan berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan supaya dapat diperhalusi dan dibincangkan lebih lanjut dengan kerajaan Singapura.
“Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 yang sudah bermula di negeri dan negara kita membolehkan isu termasuk pembukaan sempadan antara Malaysia-Singapura dilihat semula.
“Johor akan menyarankan supaya gelembung perjalanan khas terhadap penerima vaksin antara Malaysia-Singapura diperkenalkan. Ia berikutan semua penerima akan menerima sijil vaksin dan semestinya perlu ada manfaat kepada yang mempunyai sijil vaksin membabitkan rakyat Malaysia serta Singapura,” katanya pada Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Johor di Dewan Muafakat Taman Adda, di sini hari ini.
Hasni menjadi penerima vaksin COVID-19 pertama di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa penerima vaksin Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Johor yang bermula hari ini akan mengikut senarai yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
”Pelbagai proses dan kaedah dijalankan bagi memastikan penerima vaksin pertama ini benar-benar daripada petugas barisan hadapan, sama ada daripada KKM dan bukan KKM,” katanya.
Menurutnya, seramai 35,100 petugas barisan hadapan di negeri ini akan menerima vaksin COVID-19 fasa pertama program imunisasi berkenaan. – VOICE