Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa ahli politik supaya tidak merosakkan bola sepak negara.
Gesaan itu dibuat Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam sesi soal jawab santai dengan peminat bola sepak tanah air menerusi akaun Instagram Story miliknya, kelmarin.
“Dah merosakkan negara jangan sibuk nak merosakkan bola sepak,” kata beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tunku Ismail berkata demikian selepas diajukan soalan apa pendapat beliau mengenai ahli politik yang mahu bertanding dalam Kongres FAM yang akan datang.
Kongres FAM ke-57 dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 13 Mac ini dan akan menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu badan induk itu.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan sedia untuk dicalonkan semula bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya itu pada pemilihan akan datang.
Keputusan itu sudah dimaklumkan kepada EXCO badan induk berkenaan dan dibuat selepas perbincangan dengan beberapa pihak termasuk keluarga dan rakan dalam arena bola sepak.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi turut menawarkan diri untuk mempertahankan jawatannya pada kongres itu nanti.