KUALA LUMPUR: Pihak sekolah perlu membuat keputusan sendiri sama ada pemakaian set pakaian pelindung diri (PPE) oleh guru perlu dilakukan pada masa ini atau sebaliknya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata ini kerana pihak sekolah lebih mengetahui dan memahami situasi serta keperluan semasa di tempat masing-masing bagi memastikan kelancaran sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah.
Selain itu, beliau berharap tiada paksaan guru perlu memakai PPE sepanjang sesi persekolahan berlangsung.
“PPE perlu disediakan tetapi bergantung kepada keperluan semasa dan keperluan setempat. Ada ketika dan suasana guru tidak perlu pakai PPE. Ada kemungkinan apabila situasi memerlukan, guru perlu pakai kerana persekitaran berisiko tinggi.
“Pemakaian PPE juga bergantung pada situasi sekolah, misalnya mungkin sekolah di kawasan jingga tetapi murid tidak berisiko. Jadi, beri ruang sekolah membuat keputusan berhubung pemakaian PPE ini, yang penting ada persediaan.
“Bagaimanapun, saya meminta jangan ada paksaan untuk guru memakai PPE sepanjang masa,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) supaya Kementerian Pendidikan (KPM) mengetatkan aspek keselamatan guru di sekolah susulan 11 guru di Terengganu positif COVID-19
Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan, berkata peraturan ketat seperti pemakaian pelitup muka, PPE dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, selain langkah penguatkuasaan tegas perlu bagi menjamin keselamatan serta kesihatan guru termasuk murid.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, pula meminta KPM menyediakan PPE kepada semua guru supaya keselamatan dan kesihatan mereka lebih terjamin. – BH