BUTTERWORTH: Seekor kera jantan yang menggigit seorang bayi lelaki berusia dua bulan hingga parah dalam kejadian di Kampung Manggis, Sungai Puyu, petang kelmarin, ditembak mati dalam operasi pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menyalurkan laporan dibuat bapa bayi berkenaan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan susulan.
“Susulan kejadian itu, polis bersama pihak PERHILITAN turun ke lokasi kejadian dan menembak mati seekor kera jantan yang menggigit bayi berkenaan pada jam 11.30 pagi tadi.
“Pada ketika itu, kera berkenaan berada di atas pokok dalam belukar pada jarak kira-kira 30 meter dari rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, seorang bayi lelaki cedera parah di bahagian badan dan kepala akibat diserang dan diseret oleh seekor kera jantan.
Kejadian berlaku ketika itu, bayi berkenaan ditinggalkan sendirian di atas tilam pada ruang tamu rumah keluarganya, sementara ibunya ke dapur membuat susu.
Ibu mangsa bergegas ke ruang tamu sebaik mendengar tangisan kuat anaknya yang ketika itu sudah berlumuran darah akibat serangan kera terbabit sebelum menghubungi suaminya.
Mangsa mengalami kecederaan di pipi kanan, belakang kepala dan perut akibat digigit kera terbabit.
Dia dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP)
Bayi lelaki itu kini menerima rawatan di wad kanak-kanak HPP selepas selesai menjalani pembedahan kecil bagi mencantumkan bahagian kulit perut yang koyak semalam dan dilaporkan stabil. – BH