KOTA BHARU: Kerajaan mengakui sukar untuk menampung keperluan pesakit di hospital, sekiranya kes positif COVID-19 mencecah lebih 5,000 kes sehari.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mengelak kes meningkat sehingga ke tahap itu.
“Setakat ini, kita masih mampu menampung pesakit walaupun kes dah mencecah 2,000 hingga 3,000 sehari. Sekiranya lebih dari itu sehingga 5,000 hingga ke 8,000, memang agak sukar untuk kita menampung keperluan.
“Sebelum sampai ke tahap itu, kita akan pastikan angka COVID-19 tidak akan sampai ke tahap berkenaan. Kalau semua membantu kerajaan, kita mampu melandaikan graf.
“Apa yang penting, kerjasama semua pihak adalah perlu bagi memerangi COVID-19,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir di Kelantan di Kem Pengkalan Chepa.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.
Ditanya sama ada kerajaan akan membuka lebih banyak Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan dibincangkan.
“Setiap apa yang akan berlaku kita akan bersedia lebih awal,” katanya.
Jumlah jangkitan baharu COVID-19 semalam ialah 2,451 kes, manakala pada Jumaat ada 2,643 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes baharu COVID-19 mungkin meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari pada minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.
Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap jumlah 71 kes kematian dicatatkan negara akibat COVID-19, walaupun baru saja memasuki tahun baharu.
Katanya, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu, jumlah kes kematian kurang daripada 100 kes. – BH