AYER KEROH: Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menghantar semua pesakit COVID-19 yang sedang dikuarantin di Hospital Melaka ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.
EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata langkah itu diambil selepas berlaku kesesakan pesakit di hospital berkenaan sehingga tidak lagi mampu menampung jumlah yang ramai.
Katanya, semalam sahaja, seramai 12 pesakit sudah di hantar ke PKRC dan jumlah itu akan meningkat jika berlaku lagi pertambahan kes di negeri ini.
“Untuk hari ini (semalam) kita sudah menghantar 12 pesakit ke PKRC kerana Hospital Melaka sudah penuh dan tidak mampu lagi menampung jumlah pesakit COVID-19.
“Situasi ini akan berlanjutan sekiranya kita menerima lebih banyak kes positif baharu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Rahmad berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras PKRC negeri, semalam yang dianggotai Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri Melaka dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Katanya, semua pesakit yang dihantar ke PKRC hanya membabitkan orang awam yang disahkan positif pandemik berkenaan. – BH