KUALA LUMPUR: Suspek utama warga Nigeria yang mencampak cucu tirinya di sebuah pangsapuri dekat Setapak dipercayai mengalami masalah mental.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata ia berdasarkan keterangan diberikan keluarga dan rakan suspek.
Beliau berkata, suspek juga ada mengambil ubat-ubatan.
“Suspek ada mengambil ubat berhubung sakit yang dialami. Difahamkan dia ada sedikit sakit mental dan mengambil ubat.
“Justeru, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kes itu, Saiful Azly berkata suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Mengenai isteri dan dua anak tiri suspek, beliau berkata, mereka masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Selain itu, katanya proses bedah siasat juga akan dijalankan terhadap mangsa berusia empat tahun.
“Polis juga kini sedang menyiasat sama ada dakwaan suspek terbabit dengan ajaran sesat atau tidak,” katanya.
Saiful Azly menjelaskan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan.
Semalam, seorang budak lelaki berusia 4 tahun maut selepas dicampak datuk tirinya dari tingkat empat, sebuah pangsapuri di Danau Kota, Setakat.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi, dicampak selepas lelaki itu seorang warga Nigeria berusia 42 tahun, cuba merogol anak tirinya yang juga ibu kepada Muhammad Adam, dalam kejadian sekitar 7.40 pagi semalam. – BH