KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad serta melahirkan rasa kesal kerana bekerjasama dengan bekas perdana menteri yang disifatkan sebagai punca kepada apa yang berlaku terhadap kerajaan hari ini.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook, anak kepada mendiang Karpal Singh itu berkata, beliau pernah meletakkan kepercayaan ke atas Dr Mahathir yang menjanjikan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, katanya, Ahli Parlimen Langkawi itu kini mahu kerajaan tanpa Anwar, sehingga menimbulkan persoalan mengapa dia berbohong satu masa dahulu dengan menjanjikan Presiden PKR itu jawatan perdana menteri.

Ramkarpal menarik perhatian mengenai tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri dengan alasan tidak lagi mendapat sokongan majoriti tanpa berbincang dengan kerajaannya atau Kabinet ketika itu.

“Sekarang, dia mahu menjadi perdana menteri lagi,” katanya merujuk kepada cadangan parti Pejuang supaya Dr Mahathir dilantik menjadi perdana menteri sementara menunggu pilihan raya umum ke-15dengan alasan hanya beliau boleh menyelamatkan negara.

Dr Mahathir merupakan Pengerusi Parti Pejuang di mana anak beliau Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan presiden.

Ahli Parlimen DAPA Bukit Gelugor yang juga seorang peguam itu menegaskan, sebagai rakyat Malaysia, beliau wajib bertanya pada dirinya sendiri, tidak ada orang lain (yang boleh menjadi perdana menteri)?

“Adakah kita akan melantik orang sama yang berjanji kepada negara yang beliau akan melepaskan baton kepada Anwar Ibrahim apabila tiba masanya, tetapi pada hari ini beliau memberitahu kita Anwar tidak layak untuk negara kita?” soalnya.

Beliau juga mengaitkan persoalan adakah kenyataan Dr Mahathir yang bercanggah itu semata-mata mahu meraih undi semasa pilihan raya umum Mei 2018 yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional tumbang dan Pakatan Harapan mengambil alih dengan teras utama janji adalah menjadikan Anwar perdana menteri.

Katanya, Dr Mahathir juga menjanjikan segala macam pembaharuan semasa berkempen untuk memenangi PRU tetapi selepas mengambil alih kerajaan beliau mengulangi kenyataan tidak menjangkakan kemenangan tersebut.

Ramkarpal berkata, beliau menghormati Dr Mahathir atas apa yang dilakukan sebelum ini, namun bekas perdana menteri itu telah memusnahkan kehakiman, menyumbat banyak orang yang menentangnya ke dalam penjara dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

“Andalah punca negara ini memerlukan pembaharuan.

“Dan hari ini anda berkata, anda mahu menyelamatkan negara,” katanya sambil membuat rumusan bahawa Dr Mahathir adalah orang terakhir yang boleh berbuat demikian. – MalaysiaGazette