KUALA LUMPUR – Aktiviti penyeludupan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi sempadan negara ini masih aktif, walaupun hampir setiap hari pasukan keselamatan membuat tangkapan.

Dalam kejadian terbaharu semalam, seramai 59 PATI telah ditangkap dan sebuah bot serta tiga kenderaan darat yang membawa mereka turut dirampas dalam Operasi Benteng melibatkan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain polis dan ATM, turut bersama mengawal sempadan negara dari pencerobohan PATI ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan beberapa agensi lain.

MGF18092020_ISMAIL-SABRI-SERAH-PINGAT-VETEREN01-1024x683
Ismail Sabri Yaakob

Katanya, mereka menjalankan tugas mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan, termasuk penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai polis menahan seramai 98 individu semalam, atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada jumlah itu, seramai 95 individu telah dikompaun, manakala tiga lagi direman.

“Antara kesalahan mereka ialah melakukan aktiviti dalam pub atau kelab malam, gagal menjaga penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka di tempat awam, gagal melunaskan caj kuarantin dan gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri,” katanya.

Kata beliau, polis telah membuat 54,764 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Turut dilakukan pemantauan ialah 3,521 pasar raya, 4,401 restoran serta 1,466 penjaja, 1,136 kilang, 3,511 bank dan 744 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau sebanyak 1,047 terminal pengangkutan darat, 207 terminal pengangkutan air serta 155 terminal pengangkutan udara,” ujarnya.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 38,321 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Menurutnya, mereka telah ditempatkan di 66 hotel dan 11 premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, kata beliau, seramai 8,698 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 29,517 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang. Mereka telah pulang dari 33 negara termasuk Indonesia, Vietnam, Arab Saudi, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Australia, New Zealand dan  Amerika Syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette