KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan penjelasan berhubung keputusan pihak berkuasa tempatan itu menukar nama Jalan Raja Laut kepada Jalan Palastin.

Pertukaran nama itu diisytiharkan berkuatkuasa semalam dan dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali semalam.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, nama Jalan Raja Laut itu membawa makna lebih besar sejarah Melayu dan Kuala Lumpur itu sendiri.

“Saya tiada halangan nak makan jalan di KL Jalan Palestine,sebagai tanda sokongan KL kepada perjuangan pembebasan AL-QUDS.

“Namun saya mahukan penjelasan kenapa pilih tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar Sejarah Melayu Dan KL,” katanya dalam ciapan di laman Twitter di sini.

Annuar turut mempersoalkan mengapa DBKL tidak menukar nama-nama jalan Inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Cochrane dan banyak lagi.

DBKL dalam kenyataan hari ini berkata, penukaran nama jalan itu dibuat selepas mengambil kira sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palastin.

Kata DBKL, cadangan mewujudkan Jalan Palastin di ibu negara telah tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei 2019.

“Dalam perhimpunan tersebut, Kementerian Wilayah Persekutuan telah memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Penamaan Jalan Palestin ini adalah sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin,” kata DBKL dalan kenyataan itu di laman web rasminya di Facebook.

Malah menurut PBT itu, proses mengenalpasti jalan sesuai untuk ditukar nama sebagai Jalan Palestin telah mengambil masa agak lama.

“Ini kerana ia perlu dibuat secara teliti dan perlu melalui prosedur dtetapkan seperti penamaan jalan-jalan lain,” jelas DBKL lagi.

– malaysiagazett