KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan tidak melampaui batas setelah sekian lama UMNO bertolak ansur dalam membentuk kerajaan Pusat dan kerajaan negeri termasuk Sabah walaupun parti itu mempunyai kerusi minoriti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, Bersatu jangan mudah lupa dengan pengorbanan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memberi laluan mudah kepada parti itu mengetuai kerajaan pusat dan negeri sebelum ini.

“Waktu nak selamatkan Kerajaan Persekutuan, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 43 ahli Parlimen, berjiwa besar mengalah kepada Bersatu yang hanya ada 6 + 15 (ahli Parlimen lompat dari UMNO) untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Waktu nak tubuhkan kerajaan Perak, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 25 ADUN berjiwa besar, tetap mengalah kepada Bersatu yang hanya ada empat kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Faizal Azumu sebagai Menteri Besar.

“Waktu nak tubuhkan kerajaan Sabah, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 14 ADUN berjiwa besar, sekali lagi mengalah kepada Bersatu yang hanya ada 11 kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri.

“Justeru jangan melampau! Ahli-ahli UMNO juga ada maruah. Tidak selamanya juga kami boleh mengalah. Nasihat saya bersahabat dan berpakat mesti jujur dan ikhlas,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal yang ‘mendabik dada’ dengan mengatakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Bersatu tidak bertanding sendirian bahkan secara kolektif dalam Perikatan Nasional (PN).

Malah katanya, PN terbukti mempunyai kekuatan tersendiri biar pun baru setahun jagung, sambil memetik dapatan Merdeka Centre menunjukkan PN kalau kena gaya tidak bertembung tiga penjuru akan mampu menawan dua pertiga Dewan Rakyat.

Wan Ahmad Fahsyal juga berkata, rakyat lebih menyayangi PN daripada parti lain kerana tidak dibayangi dengan skandal dan masalah kronik sehingga rakyat sukar percaya.

Malah Wan Ahmad Fahsyal juga mahu memperkukuhkan kerjasama dengan Pas untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15  akan datang.

“Semoga Allah melembutkan hati-hati kita untuk tidak tamak dan sepet akal dalam menilai. Masa depan Malaysia buat masa ini cerah bersama PN, Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette