KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau diperkenal kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low selaku penasihat tidak rasmi kepada Datuk Seri Najib Razak yang menubuhkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mohd Hazem berkata, Jho low dipekenal kepadanya oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias dalam pertemuan di Hotel Shangri La Putrajaya pada 15 Julai 2012.
Mohd Hazem selaku saksi pendakwaan ke-10 berkata, dalam pertemuan itu, Jho Low memberitahu bahawa penubuhan 1MDB untuk membantu UMNO dalam perniagaan membabitkan pelaburan strategik 1MDB.
“Bagaimananapun beliau tidak menjelaskan terperinci bagaimana cara beliau akan menggunakan 1MDB untuk membantu UMNO.
“Beliau menceritakan mengenai sejarah dan latar belakang 1MDB, termasuk bagaimana beliau menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sehingga Kementerian Kewangan mengambil alih dan menukar nama kepada 1MDB,” katanya.
Mohd Hazem berkata, 1MDB di bawah kendalian dan kehendak Datuk Seri Najib Razak kerana sebarang keputusan dan kata putus di bawah kuasa mutlak bekas Perdana Menteri itu.
Beliau berkata, perkara itu dibertahu kepadanya oleh Jho Low dalam pertemuan di hotel berkenaan.
Mohd Hazem berkata, oleh itu beliau mendapat gambaran dalam pertemuan itu bahawa beliau perlu mendapatkan sebarang ‘clearance’ (kebenaran) daripada Jho Low dahulu jika bekerja di 1MDB.
Beliau berkata, perkara itu turut disahkan Azlin.
Katanya, itu sebab sebenar beliau diperkenalkan kepada Jho Low dalam pertemuan berkenaan.
“Ia kerana selepas saya bertugas di 1MDB nanti, saya perlu melaporkan sebarang keputusan dan mematuhi kehendak Perdana Menteri melalui wakil beliau, iaitu Jho Low dan Datuk Azlin,” katanya.
– BH