KUALA LUMPUR – Datuk Rizal Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor telah menerima wang tunai RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan kontrak bagi projek solar hibrid di Sarawak.

Bekas pegawai khas Rosmah itu berkata, wang tunai masing-masing RM5 juta dan RM1.5 juta telah dihantar kepada Rosmah secara berasingan di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada penghujung Disember 2016 dan di Langgak Duta, di sini, awal September 2017.

Rizal, 46, berkata, pada penghujung Disember 2016, Saidi telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau bersedia membayar RM5 juta iaitu sebahagian daripada wang RM187.5 juta yang telah dijanjikan untuk diberikan kepada isteri bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata, Rosmah kemudian telah mengarahkannya menghantar wang berkenaan ke kediaman rasminya di Seri Perdana kerana beliau berada di rumah berkenaan ketika itu dan apabila tiba di kediamannya, Rosmah mengarahkan dua ‘butler’nya (pelayan) untuk membawa kedua-dua bagasi yang mengandungi wang tunai RM5 juta masuk ke dalam rumah berkenaan.

“Saya kemudian telah berjumpa Datin Seri Rosmah bersama kedua-dua bagasi tersebut. Beliau kemudian bertanya kepada saya “berapa”? dan saya jawab “lima” bermaksud RM5 juta. Datin Seri Rosmah tidak membuka kedua-dua bagasi itu dan mengarahkan butler beliau untuk menghantar beg-beg tersebut ke dalam biliknya (Rosmah). Saya kemudian beredar dari situ,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata, beberapa hari selepas itu, beliau ada bertanyakan kepada Rosmah sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan penerimaan wang tunai RM5 juta daripada Saidi.

“Beliau (Rosmah) telah memberitahu saya bahawa beliau memerlukan wang yang banyak untuk tujuan politik dan telah mengatakan kepada saya lebih kurang “pandai-pandailah minta dia orang jaga you”. “Dia orang” yang dimaksudkan merujuk kepada Saidi dan Rayyan (Rayyan Radzwill Abdullah adalah rakan kongsi Saidi).

“Saya dapat rasakan bahawa beliau (Rosmah) berkata begitu kerana menyangka saya ingin meminta sedikit bahagian daripada wang itu untuk diri saya sendiri sebagai upah. Datin Seri Rosmah tidak tahu bahawa Saidi telah berjanji untuk memberikan RM25 juta kepada saya dan saya telah menerima sejumlah RM500,000 pada masa itu,” katanya.

– malaysiagazett