Bulan lalu hangat diperkatakan apabila pelawak dan pengacara Shuk Sahar didakwa berlaku curang. Setelah sekian lama berdiam diri, Shuk tampil menjelaskan dakwaan curang terhadap isterinya, Rossalennah Natassyiah.

Shuk mengakui pernah mengenali wanita dikenali sebagai Fara Salleh dan isterinya tahu tentang perkara itu. Namun, dia dan isteri sudah berbincang tidak memberi kenyataan lanjut memandangkan hal itu sudah selesai.

“Saya mengaku yang saya pernah kenal insan terbabit dan isteri pun mengetahui perkara itu. Sebenarnya masalah tersebut sudah lama diselesaikan.

“Tapi saya tak tahu apa niat individu yang menyebarkan perkara itu. Saya pun dah berbincang dengan isteri dan ambil keputusan untuk tidak mengulas lebih lanjut.

“Apa yang berlaku sudah berlalu dan saya nak fokus kepada keluarga serta kerjaya sahaja sekarang ini,” katanya kepada mStar Online.

Shuk menjelaskan dia berdiam diri ketika isu itu tular kerana pada masa itu dia dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha. Dalam pada itu, Shuk meluahkan rasa syukur hubungannya dengan isteri sentiasa baik dan tidak berenggang sepanjang kontroversi itu diperkatakan.

“Sepanjang waktu itu, isteri dan saya tak pernah berenggang dan Alhamdulillah hubungan kami baik sahaja. Sebagai seorang lelaki, ketua keluarga dan suami, kita tak mungkin lari daripada buat kesilapan.

“Itu keluarga saya dan saya akan cuba pertahankan sampai bila-bila. Saya belajar daripada kesilapan dan akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.