Penampilan terbaru Rahim Sepahtu menjadi perhatian ramai apabila berjaya menurunkan berat badannya. Malah, isterinya Lily Khay juga turut meluahkan rasa gembira melihat perkembangan positif suaminya itu.

Lily juga menyifatkan penampilan suaminya kini juga dilihat lebih seksi jika dibandingkan ketika mereka mula berkahwin dahulu. Menerusi satu perkongsian di Instagram, Lily turut memuat naik gambar lama suaminya.

“Tengok gambar terkini laki teringat ketika dia sewaktu bersaiz begini dulu. OMG! Sejujurnya suka tengok suami sekarang, makin hari makin seksi. Betapa bermotivasinya dia kan.

“Tapi kan aku pula geram tengok dia comel sangat, tu pasal kakak (anak) suka tepuk bontot dia, ‘kerjakan’ dia, sakat dia, ye lah uols, dulu di awal perkahwinan ni, tengok lah saiz abang beratus kilogram kot,” katanya.

Lily juga mendedahkan, sebelum ini suaminya terpaksa tidur menggunakan bantuan mesin oksigen akibat mengalami gangguan pernafasan. Bagaimanapun, Lily meluahkan rasa syukur suaminya kini dilihat semakin sihat.

“Keadaan paling teruk bila tidur pun pakai mesin sleep apnea (gangguan tidur akibat pernafasan terhenti). Sah-sahlah tidur nak peluk pun tak boleh dulu. Takut-takut leher aku yang terbelit wayar mesin tu.

“Dia buka oksigen, nanti aku yang padam. Namun, dia sekarang dah makin fit, lebih nampak muda dan lebih sihat, Alhamdulillah,” katanya.

Sebelum ini, Rahim mendedahkan berat badannya mencecah sehingga 125 kilogram. Bagaimanapun, dia kemudian mula menjalani gaya hidup sihat dan berjaya menurunkan berat lebih 16 kilogram dalam tempoh singkat.

– Rotikaya