Dikurniakan rezeki lagi apabila isterinya, Datin Zai Izzati disahkan berbadan dua selepas lapan bulan menimang cahaya mata perempuan, Datuk Jamal Abdillah berkata beliau bakal menimang cahaya mata lelaki.

Menurut penyanyi berusia 61 tahun itu lagi, dia dan isteri sudah memilih nama anak iaitu El Isaac Yamani. Ujarnya, nama itu dipilih sempena nama Nabi Ishak dan ada sebutan ‘Zek’ yang merupakan nama wataknya dalam filem Azura.

 

“Alhamdulillah, saya bakal menimang cahaya mata lelaki. Saya dan isteri sudah pun memilih nama untuknya. Kami sukakan nama El Isaac Yamani.

“Nama ini diambil sempena nama Nabi Ishak. Cuma ejaannya saya ubah. Selain itu, nama ini dipilih kerana saya mahu ada sebutan ‘Zek’ yang juga nama karakter saya dalam filem Azura,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi cerita mengenai kehidupannya selepas mempunyai anak kecil, Jamal berkata masanya kini banyak dihabiskan dengan anak memandangkan isterinya sedang sarat hamil enam bulan.

“Walaupun ada pembantu rumah, tetapi dalam urusan mengasuh anak, saya dan isteri akan bergilir-gilir menjaganya. Isteri sedang sarat kerana kandungannya sudah memasuki enam bulan. Apabila sudah ada anak kecil, masa untuk diri sendiri semakin berkurangan.

“Fokus saya kini pada anak. Kalau dahulu, saya boleh pergi beriadah pada bila-bila masa, tetapi sekarang saya tak boleh keluar sesuka hati. Badan pun sudah tak ‘fit’ dan semakin berisi,” cerita Jamal.

Jamal dan Zai Izzati berkahwin pada 1 April 2017 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober tahun lalu.

Jamal turut mempunyai dua lagi anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

– Rotikaya