Wednesday, May 12, 2021
No menu items!
Home Isu Semasa Ekonomi TERAJU perlu RM10 bilion cebur bidang baharu lonjak ekonomi Bumiputera

TERAJU perlu RM10 bilion cebur bidang baharu lonjak ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memerlukan peruntukan sebanyak RM10 bilion melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi membolehkan agensi itu berkembang untuk menceburi bidang baharu dan menyasarkan generasi muda Bumiputera.

Menyatakan harapan selepas dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, TERAJU berharap agensi itu juga diberi mandat dari segi dana untuk membeli syarikat Bumiputera yang kurang berjaya, bagi pembangunan dan penjualan semula syarikat berkenaan kepada syarikat Bumiputera yang berkemampuan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“TERAJU juga berharap diberi peruntukan untuk membantu syarikat daripada aspek kewangan bagi mengembangkan syarikat terutama dari segi penggunaan teknologi,” kata agensi itu dalam satu kenyataan kepada BH, semalam.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, beliau memutuskan TERAJU dipertanggungjawabkan sebagai agensi penyelaras utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, selain akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas kementerian, agensi dan GLC.

Ia adalah antara usaha kerajaan untuk melonjakkan sosio-ekonomi golongan itu, susulan kadar pemilikan ekuiti Bumiputera berada pada tahap 16 peratus saja ketika ini, yang dilihat semakin merosot dan disifatkan Perdana Menteri sebagai membimbangkan.

Mengulas lanjut, TERAJU berkata, pihak swasta dan GLC perlu turut serta membangunkan pembabitan dan keberhasilan Bumiputera dalam ekosistem perniagaan mereka.

“Peranan yang boleh dimainkan mereka termasuk menambah baik dasar dan amalan dalam pengambilan pekerja serta perolehan sektor swasta supaya tidak wujud sebarang bentuk diskriminasi terhadap Bumiputera.

“Dalam usaha meningkatkan keberhasilan Bumiputera, isu integriti, ketirisan, rasuah dan sabotaj ekonomi juga perlu ditangani secara serius dan holistik,” katanya.

TERAJU memaklumkan, satu pangkalan data berpusat Bumiputera berteknologi tinggi akan diwujudkan untuk mengumpul statistik berkaitan sosio-ekonomi golongan itu supaya tahap pencapaiannya dapat diukur dan dipantau dengan lebih efektif.

Data yang dikumpulkan merangkumi statistik sosial seperti penduduk, pendidikan dan perkhidmatan serta statistik ekonomi seperti pekerjaan, perniagaan, industri dan pelancongan.

Ini juga termasuk, data berkaitan program Bumiputera seperti peruntukan dan perbelanjaan bagi program pemerkasaan agenda Bumiputera serta maklumat berkenaan sistem yang dibangunkan kementerian, jabatan dan agensi seperti sistem pemantauan program serta bajet.

“Dengan adanya data ini, ia akan membantu meningkatkan dan menambah baik pelaksanaan, penyelarasan serta pemantauan agenda pembangunan Bumiputera di peringkat nasional merangkumi pembangunan modal insan, peningkatan peluang pekerjaan, pemerkasaan dan pengembangan bidang keusahawanan, selain pemantauan aset kewangan dan bukan kewangan di peringkat kementerian, agensi, GLC dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan),” katanya.

TERAJU berharap, kerajaan juga memperuntukkan dana khusus bagi sektor ekonomi baharu yang berimpak tinggi berlandaskan penggunaan teknologi terkini ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seperti data raya dan kecerdasan buatan (AI) yang mensasarkan golongan belia serta profesional Bumiputera.

Katanya, sektor ekonomi baharu itu merangkumi bidang pertanian pintar, bioteknologi dan sains hayat, perubatan dan penjagaan kesihatan, logistik, angkasa dan aeroangkasa serta perkhidmatan kejuruteraan.

– BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisment -

Most Popular

BAKAL WUJUD PERIKATAN 3.0?

PETALING JAYA: Corak politik negara bakal berubah apabila wujud gambaran UMNO bakal membentuk jajaran politik baharu dinamakan Perikatan 3.0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15...

AGONG NASIHAT RAKYAT DUDUK RUMAH

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan kebimbangan dengan situasi terkini wabak Covid-19 menasihati rakyat untuk berada di rumah dan tidak keluar jika...

NAJIS LEMBU BOLEH HINDAR JANGKITAN COVID-19?

ORANG ramai di India digesa untuk tidak mengamalkan rawatan tradisi menggunakan najis lembu yang dipercayai boleh menghindari daripada jangkitan virus COVID-19. Para doktor berkata, tiada...

SAYA ADA TERIMA DUIT DARIPADA NAJIB – IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali hari ini membuat pengakuan pernah menerima sekeping cek peribadi daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagaimanapun, Presiden...

Recent Comments

Enable Notifications    Ok No thanks