SINGAPURA: Ketua sami kuil Hindu tertua di Singapura, Kuil Sri Mariamman, sedang disiasat polis setelah perhiasan emas di bawah jagaannya didapati hilang.
Dalam satu kenyataan media pada Sabtu (1 Ogos), kuil itu menyatakan pihaknya membuat penemuan tersebut semasa ia menjalankan satu audit.
“Hiasan emas yang sering digunakan untuk upacara ibadat disimpan di bawah jagaan Ketua Sami di tempat suci Kuil. Audit berkala dilakukan untuk memastikan bahawa perhiasan emas itu secara fizikal dipertanggungjawabkan,” menurut kuil itu.
Pihaknya menambah bahawa ketua sami berkenaan disoal siasat dan kemudian mengembalikan semua barang yang hilang.
Tiada pihak lain yang terlibat dalam kejadian itu, menurut jawatankuasa kuil.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis mengesahkan bahawa aduan polis telah dibuat, sambil menambah bahawa seorang lelaki berusia 36 tahun ditangkap atas jenayah pecah amanah sebagai seorang kakitangan.
Kuil Sri Mariamman menyatakan, ketua sami tersebut kini bebas dengan ikat jamin.
“Jawatankuasa Kuil telah memaklumkan Lembaga Endowmen Hindu mengenai perkara ini sejak kehilangan itu terbongkar dan sedang bekerjasama rapat untuk meleraikan perkara ini,” tambahnya.
Polis menyatakan siasatan sedang dijalankan.
– Berita Mediacorp