Wednesday, August 5, 2020
No menu items!
Home Isu Semasa Dalam Negara Mahu negarawan, bukan abah

Mahu negarawan, bukan abah

sharethis sharing button

Ada orang bilang tulisan kolum saya berpengaruh. Saya berhak perasan. Zaman ini zaman orang perasan berpengaruh, perasan ada angka, atau perasan ada teropong paling jernih dan bersih seperti presiden PAS. Jadi, sekali-sekala menelan dan bangga dengan hemat orang tidak mengapa. Kalau tiada orang puji pun kita boleh puji diri sendiri. Ini zaman TikTok, kita tayang apa ada. Kalau PAS boleh buat maka saya boleh buat.

Ada 2 perkara yang ingin saya nyatakan minggu ini.

Pertama, iaitu soal Abah, Pak Long, Pak Su, Pak Ngah dan sekalian hierarki keluarga Melayu yang ada. Kalau ini cerita Itali, orang akan sangka ini hierarki samseng macam dalam filem The Godfather. Atau dalam cerita kantonis mengenai kongsi gelap Cina, ada “tai ko”. Tapi simpang malaikat lah kerana ini bukan hal samseng.

Akan tetapi ini cerita Melayu. Macam yang kamu tonton petang-petang yang dilakonkan Syafiq Kyle dan Uqasha Senrose. Konon dalam negara kita ada Abah, Pak Long, Pak Su, Pak Ngah dan sekalian hierarki keluarga Melayu yang ada. Ini kata orang Indonesia, busyet.

Kita tahu kita ada penyakit diri kalau urusan pentadbiran negara diturunkan tarafnya serendah sebuah keluarga Melayu. Hal negara bukan hal keluarga kampung. Bukan.

Kita jarang dapat menegur perangai Pak Long dan Pak Su kita, apatah lagi Abah. Kalau Pak Long jenis tamak tanah harta pusaka, kita selalu memendam rasa. kalau Pak Su kerja meraba anak dara sunti kita, kita Melayu selalu terpaksa bertabah. Senarai kemam diam kita agar nama keluarga tidak busuk memang panjang. Kita telan. Kita diam. Kita tidak dibenarkan bersuara. Itulah politik keluarga Melayu. Itulah yang terjadi dalam keluarga yang ada Pak Long Pak Su.

Keluarga kampung yang penuh politik pak-pak ini politik keluarga yang membinasakan. Melayu bergaduh dan bermasam muka sebab perangai pak-pak ini lah selalunya. Setiap kita ada pengalaman buruk ini.

Negara ini bukan milik bapak saya. Bukan milik bapak kamu. Bukan milik bapak sesiapa. Ini bukan negara abah sesiapa. Negara adalah urusan negara. Menukar urusan negara menjadi urusan keluarga adalah naratif berbayar yang bahaya agar rakyat dibodohkan dari demokrasi sihat.

Mana-mana kerajaan dalam dunia yang menggunakan naratif Abah, Pak Long, Pak Su, Pak Ngah, dan sekalian hierarki keluarga Melayu yang ada adalah kerajaan “boomer”, yang mana sebuah kerajaan Pak Long, Pak Su, dan Pak Ngah yang kamu; anak muda, yang lahir dalam zaman menggunakan Zoom dan Google Class Room dinafikan haknya. Suara kita dibungkam. Tiada soal jawab. Sebab abah tahu dia salah. Tetapi abah selotep mulut kita. Abah tekup mulut kita. Jangan persoalkan.

Keluarga Melayu dengan naratif Abah, Pak Long, Pak Su, Pak Ngah dan sekalian hierarki keluarga Melayu yang ada, tidak menimbangkan suara generasi muda. Kalau dalam grup WhatsApp famili saat Abah, Pak Long, Pak Su, Pak Ngah dan sekalian hierarki keluarga Melayu yang ada, bertekak atau berbahas; kita anak muda akan diam. Kita akan mesej tepi sambil mengumpat. Kita menyampah dan benci. Kita mengata. Kita tahu betapa terputusnya Abah, Pak Long, Pak Su, Pak Ngah dan sekalian hierarki keluarga Melayu yang ada itu dari realiti, tetapi kita telan.

Jadi menjadikan urusan negara urusan keluarga seperti soap opera Melayu adalah naratif pendek akal, naratif membodohkan Melayu, dan naratif berbayar yang paling patriarki.

Kita memang tidak boleh membantah pak-pak sekian ini tambah-tambah jika kita ada Mak Anjang Doraemona, atau Mak Teh Lah yang sudah hidup satu abad lamanya. Kalian boleh fikirkan mak-mak lain yang ada. Yang mereka terbungkam oleh patriarki, dan hidup tua untuk membawang, dan sekadar berpuas hati dapat mengaji mengikut saluran TV Al Hijrah.

Jadi naratif keluarga Melayu ini, naratif yang gunanya untuk mengawal. Naratif Pak Long atau Pak Ngah ini adalah naratif patriarki. Naratif Pak Long atau Pak Ngah ini menunjukkan kecetekan minda politik.

Negeri lain juga berdepan dengan krisis tetapi mereka tidak pun menamakan pemimpin mereka Mama Jacinda, Nanny Merkel, Abah Trump, Pak Ngah Pence, Ummi Melania dan sekian-sekian. Pemimpin seperti Abah Trump itu untuk dilutu dan dikutuk, ditanya dan dipersoalkan. Malah dibantah seperti dalam rapat-rapat Black Lives Matter.

Sebab apa mereka tidak buat begitu? Sebab satu, bunyi macam bodoh. Kedua, bunyi macam terdesak. Dan paling penting kerana urusan negara adalah urusan serius. Bukan urusan keluarga yang hanya berkumpul untuk rewang kenduri serambi membawang orang tertentu keturunannya tidak jernih. Urusan negara ada urusan berparlimen dan bersidang dalam 100 hari pemerintahan. Juga kerana urusan negara bukan urusan bapak saya, bapak kamu, atau bapak sesiapa.

Naratif boomer atau naratif orang tua ini hendaklah dihentikan. Jangan kotakkan rakyat yang pernah membuat perubahan pada 2018. Negara ini milik generasi muda. Bukan generasi Abah, Pak Long, Pak Ngah atau Pak Su.

Poin kedua minggu ini, daripada kolumnis berpengaruh seperti saya; adalah soal pilihan raya.

Orang munafik menjual bermacam-macam. Orang munafik juga digelar pengkhianat di zaman Nabi dulu. Hari ini sekali lagi orang munafik berjualan aneka manisan dan gula-gula. Kita tidak hairan dengan munafik kerana itu memang kerja mereka, menjual khianat, tetapi kita hairan dengan agamawan kerana membeli khianat, padahal mereka itu tahu hukum serba-serbi.

Maka kita hairan melihat agamawan retis dan miang untuk melihat Dewan Rakyat dibubarkan; dengan alasan memperbaharui mandat rakyat. Kita ingin bertanya; mandat rakyat yang mana?

Ini kerana mandat rakyat pada 2018 itu masih segar. Mandat rakyat itu tarikh luputnya selama 5 tahun. Mandat rakyat dalam 2018 menolak kleptokrat. Mandat rakyat dalam 2018 memusuhi pengkhianat. Mandat rakyat 2018 itu membentuk sebuah kerajaan yang diacum dan diganggu saban hari oleh perkauman yang dibayar, juga oleh manipulasi Cambridge Analytica, dan dibantu dana asing besar dari negara luar. Saban hari, bahkan saban minit, askar siber yang tidak kurang wangnya akan menggasak mandat rakyat 2018 itu, agar kleptokrat kembali berkuasa. Yang anehnya, agamawan membeli apa sahaja yang dijual kleptokrat ini.

Mereka agamawan sial.

Mereka menggunakan kaedah fikah dan macam-macam dalil untuk mengkhianati mandat rakyat.

Untuk apa sebuah lagi pilihan raya jika mandat negara dikhianati dengan selalu? Politikus bebas menghina mandat rakyat dengan melompat dan mengkatakkan diri.

Rakyat tidak wajar dihukum dengan satu pilihan raya tergempar. Yang mesti dihukum politikus yang melompat. Rakyat tidak boleh didera politikus yang mempermainkan mandat rakyat. Demokrasi kita menjadi pincang kerana ahli politik yang bersuka hati membelakangkan undi rakyat. Mereka memberi pelbagai sebab untuk menghalalkan. Yang kahwin 3 misalnya, memberi alasan mereka memerlukan wang. Yang berhutang pula memberi alasan piutang untuk dilangsaikan. Yang konon beragama produk graduan Azhar dan Madinah memberi dalil perpaduan Muslim untuk mengkhianat. Yang penat berjuang dan kerana penat itu dia mahu kuasa yang lebih, maka dia memberi alasan sudah penat maka dia memperkirakan jawatan tertentu memang miliknya.

Di mana ada rakyat?

Sebab itu, satu lagi pilihan raya ketika mandat rakyat pada 2018 masih belum luput tarikh bukan satu pilihan yang patut, waras, demokratik, dan munasabah. Orang munafik menjual bermacam-macam. Orang munafik juga digelar pengkhianat di zaman Nabi dulu. Hari ini sekali lagi orang munafik berjualan aneka manisan dan gula-gula. Kita tidak hairan dengan munafik kerana itu memang kerja mereka, menjual khianat, tetapi kita hairan dengan agamawan kerana membeli khianat, padahal mereka itu tahu hukum serba-serbi.

Rasa “retis” dan miang untuk pilihan raya itu tidak lain tidak bukan kerana keberahian dan ketagihan kuasa. Agar dengan kuasa itu dapat membaham harta yang sudah dibahagi-bahagi sesama mereka selama ini.

Kerana dalam politik ala-ala keluarga Melayu, yang jadi pertimbangan bukan sangat rakyat. Akan tetapi habuan.

Pilihan raya mengejut ketika pandemik sangat mahal; dan tidak perlu kita menjadi bodoh untuk tidak dapat berfikir, bahawa, kosnya akan meningkat dari biasa. Pilihan raya di waktu ini akan memerlukan sebagai contoh, pensanitasi. Pilihan raya di waktu ini akan memerlukan penjarakkan sosial yang mana hari pengundian akan melampaui 2 atau 3 hari. Pilihan raya di waktu ini akan memerlukan khidmat barisan hadapan yang sedia lesu dan letih dan hanya sekadar mendapat tepukan gemuruh di Dewan Rakyat. Pilihan raya di waktu ini akan memerlukan ruang untuk membuang undi yang lebih banyak. Akal waras akan dapat memikir. Nafsu membeli apa yang dijual pengkhianat akan menutup akal.

Jadi minggu ini kita ditanda 2 wabak yang membantut akal dan jiwa. Melayu perlu berubah dan berhenti menjadi mudah terpukau. Kita perlu matang dan berfikir waras.

Urusan negara adalah urusan serius dan tidak selesai di kawah dodol tatkala Pak Long dan Pak Su bertengkar anak siapa lebih menjawat posisi tinggi. Atau anak anu si anu yang belajar sampai Australia tapi balik tak bawa apa.

Inilah pesan saya; daripada kolumnis berpengaruh anda. Berhenti terpukau dengan remeh-temeh Abah, Pak Long atau Pak Su. Urusan negara adalah urusan serius. Kita semua berhak bertanya dan mempersoalkan. Mereka mesti menjawab kita.

– FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisment -

Most Popular

UMNO tidak harus dilihat cuba pengaruhi institusi kehakiman – Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: : UMNO sebagai parti pendokong aspirasi Melayu dan Islam di negara ini, tidak seharusnya dilihat cuba mempersoalkan integriti institusi kehakiman di negara ini,...

UMNO harus ‘move on’, jangan nafikan mesej saya – Khairy Jamaluddin

  KUALA LUMPUR: : Masih ada yang mahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kembali menjadi Presiden UMNO, walaupun beliau sudah didapati bersalah di...

Lebih 20,000 pendatang tanpa izin dihantar pulang tahun ini – Hamzah

KUALA LUMPUR, 4 Ogos -- Sebanyak 20,297 pendatang tanpa izin yang ditahan di depot-depot imigresen di negara ini dihantar pulang ke negara masing-masing sejak awal Januari hingga 24...

Luqman Hakim Jauh Tinggalkan Pemain Lain Dalam Undian “Golden Boy” 2020

Penyerang skuad B-19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin jauh meninggalkan pemain lain dalam undian bagi anugerah Golden Boy 2020 yang dijalankan oleh media terkenal...

Recent Comments