Tuesday, September 29, 2020
No menu items!
Home Isu Semasa Dalam Negara Keputusan kes bunuh Kevin Morais 10 Julai

Keputusan kes bunuh Kevin Morais 10 Julai

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 10 Julai ini untuk membuat keputusan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam dram berisi konkrit, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Wan Shaharuddin Wan Ladin sementara peguam Datuk N. Sivananthan mewakili tertuduh pertama, pakar patologi Kolonel Dr R.Kunaseegaran dan peguam Datuk Sheelan Arjunan mewakili lima tertuduh lain, R. Dinishwaran, A. K. Thinesh Kumar, M. Vishwanath, S. Nimalan dan S. Ravi Chandaran.

Kunaseegaran, 57, pemberi pinjaman wang Ravichandran, 49, serta empat pengangur Dinishwaran, 28; Thinesh Kumar, 27; Vishwanath, 30; dan Nimalan, 27, dituduh membunuh Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini, ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.

Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34, berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Sivananthan dalam hujahannya antara lain berkata keterangan yang dikemukakan pendakwaan tidak mencukupi untuk mensabitkan anak guamnya dengan pertuduhan membunuh dan motif yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan tidak menunjukkan anak guamnya bersalah.

“Motif yang dibangkitkan pendakwaan iaitu bahawa tertuduh pertama (Kunaseegaran) kononnya menyimpan dendam terhadap mendiang dan telah merancang serta melaksanakan pembunuhan ke atas mendiang adalah suatu rekaan dan sangkaan sahaja. Motif yang dibangkitkan itu tidak disokong oleh keterangan kukuh bahawa tertuduh pertama benar-benar berdendam terhadap mendiang sehingga menyebabkan pembunuhan ke atas mendiang.

“Malah, tertuduh pertama telah memberi keterangan semasa kes pembelaan bahawa mendiang sebenarnya banyak menolongnya (dalam kes lain di Mahkamah Shah Alam). Wang jamin tertuduh pertama dikurangkan oleh mendiang dan mendiang juga telah membenarkan jamin mulut sahaja bagi memulangkan kereta-kereta tertuduh pertama yang dirampas oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atas alasan tertuduh pertama tidak mempunyai wang mencukupi pada masa itu,” katanya.

Sivananthan juga berhujah, saksi-saksi pendakwaan sendiri tidak pernah menyatakan bahawa anak guamnya pernah bergaduh, meluahkan sebarang perkataan kesat atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Morais, malah katanya, pegawai penyiasat sendiri telah mengesahkan bahawa tiada bukti di dalam kes ini untuk menunjukkan sebarang pertengkaran antara anak guamnya dan mangsa.

Peguam itu berkata bahawa tiada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi menyokong penggunaan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, kerana bagi membuktikan seksyen itu, beliau berkata pendakwaan perlu menunjukkan niat bersama antara kesemua tertuduh untuk membuat kesalahan yang dipertuduhkan.

“Adalah satu fakta yang tidak dipertikaikan bahawa tertuduh pertama tidak pernah hadir di mana-mana tempat yang dapat dikaitkan dengan pembunuhan dan pelupusan mayat mendiang Kevin Morais pada 3 Sept 2015 dan 4 Sept 2015, selain rekod telefon tertuduh pertama membuktikan dia berada di kawasan Klang sepanjang hari kejadian (4 Sept 2015) dan rekod-rekod telefon menunjukkan bahawa tertuduh pertama tidak pernah berkomunikasi dengan mana-mana tertuduh lain sewaktu pembunuhan dilakukan serta pada bila-bila masa,” katanya.

Sheelan dalam hujahannya pula antara lain membangkitkan mengenai kewujudan asid deoksiribonukleik (DNA) milik seorang lelaki tidak dikenali yang diperoleh daripada dawai yang digunakan untuk mengikat guni di mana jasad Morais telah ditemui.

“Menurut keterangan ahli kimia, beliau menyatakan telah menguji DNA tersebut dengan 11 orang yang ditahan termasuk DNA kesemua tertuduh. Ini timbul persoalan DNA yang ada pada wayar itu milik siapa? Ada kemungkinan ini adalah DNA pembunuh sebenar, dan jika tertuduh-tertuduh telah bunuh mangsa, maka sudah tentu DNA mereka wujud pada dawai itu. DNA lelaki tidak dikenali itu menunjukkan ada individu lain yang kendalikan mayat mangsa.

“Sehingga ke hari ini pihak pendakwaan masih gagal tunjukkan di mana mangsa telah dibunuh atau siapa yang bunuh. Tiada keterangan yang boleh kaitkan tertuduh-tertuduh kepada pembunuhan mangsa dan tiada keterangan yang tunjukkan tertuduh-tertuduh telah bunuh mangsa,” katanya.

Saiful Edris berkata meskipun Kunaseegaran tidak dilihat di mana-mana tempat berkaitan kes pembunuhan itu, keterangan saksi menunjukkan tertuduh mempunyai motif dalam pembunuhan mangsa berikutan dia amat tertekan dengan pertuduhan-pertuduhan tambahan yang dikenakan ke atasnya sehingga menyebabkan banyak wang terpaksa dilaburkan untuk kes-kesnya di mahkamah.

Tambah beliau, kesemua tertuduh sepatutnya ‘bersatu’ untuk menentang hujahan pihak pendakwaan, namun sebaliknya mereka menyalahkan sesama sendiri ketika memberi keterangan.

“Hakikatnya ‘peluru’ pihak pendakwaan tidak berjaya dipatahkan (oleh pembelaan) dan tidak ada kesimpulan lain melainkan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengenai kewujudan DNA lelaki tidak dikenali, Wan Shaharuddin berhujah, mahkamah tidak boleh mengabaikan bukti-bukti lain dan hanya melihat kepada bukti itu sahaja (DNA lelaki tidak dikenali).

“Pembelaan tidak menyatakan mengenai keterangan ahli kimia bahawa DNA itu ialah DNA yang lemah. Ahli kimia dalam keterangannya menyatakan ramai orang yang kendalikan guni itu, antaranya pihak polis, Jabatan Pertahanan Awam di mana ada antara mereka yang memakai sarung tangan dan ada yang tidak pakai sarung tangan. Bukan dawai ini yang membunuh mangsa, ia hanya wujud selepas kejadian (pembunuhan).

“Sehubungan itu, mahkamah selamat untuk sabitkan semua tertuduh sebab keterangan yang ada langsung tidak memihak kepada mereka dan keterangan semua tertuduh hanyalah penafian semata-mata serta yang difikirkan kemudian. Mohon mahkamah rekodkan penemuan undang-undang bahawa pihak pendakwaan telah bangkitkan kes di tahap melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh dan mohon mahkamah sabitkan semua tertuduh serta kesemua mereka dihukum gantung sehingga mati,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisment -

Most Popular

Ratusan lagi pekerja AirAsia dijangka akan diberhentikan

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd berkemungkinan melaksanakan pusingan terbaharu langkah pemberhentian beratus-ratus pekerjanya dalam usaha untuk terus bertahan dalam industri yang...

Bersatu jangan melampau, berpakat biar jujur – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan tidak melampaui batas setelah sekian lama UMNO bertolak ansur dalam membentuk kerajaan Pusat dan kerajaan...

Angka korban COVID-19 global jangkaui 1 juta

PARIS: Angka kematian global akibat pandemik COVID-19 yang mula dikesan di China kurang setahun lalu sebelum merebak ke seluruh dunia kini melepasi satu juta...

Tukar nama Jalan Raja Laut ke Jalan Palestin: Annuar minta DBKL beri penjelasan

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan penjelasan berhubung keputusan pihak berkuasa tempatan itu menukar nama Jalan...

Recent Comments

Enable Notifications    Ok No thanks