KUALA LUMPUR – Sebahagian daripada wang RM600,000 yang ditemui dan disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari kediaman dua anggota Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu adalah untuk bantuan Covid-19.

Armada dalam kenyataannya berkata, wang tersebut juga untuk bantuan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Hal ini adalah kerana ketidaktentuan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari,” katanya.

Kenyataan Armada itu menyusul selepas SPRM mendedahkan telah merampas RM600,000 dari dua ahli Armada yang telah disoal siasat pada 5 Jun lalu berhubung laporan yang dibuat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung kehilangan RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya.

Mengulas lanjut, Armada berkata, fasa pertama bantunan makanan telah diedarkan ke seluruh negara pada bulan Ramadan dan bantuan kebajikan tambahan juga telah diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Ini adalah perkara asas bagi menjaga kebajikan ahli seperti mana yang telah dilakukan oleh parti Bersatu di peringkat Pusat,” kata kenyataan itu lagi.

 

Armada Bersatu, katanya, mengambil maklum mengenai kenyataan SPRM dan setegas-tegasnya tidak menyokong sebarang penyelewengan wang dan mengalu-alukan siasatan dijalankan dengan adil.

“Armada Bersatu Malaysia sedia bekerjasama dengan SPRM untuk menyiasat perkara ini selagi mengikuti garis panduan dan prosedur yang betul.

“Kami sentiasa berpegang pada prinsip berani kerana benar,” katanya. – MalaysiaGazette